Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos merasmikan resort miliknya, Sekin Fisherman Village Hotel & Resort sehari selepas Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) bertindak merobohkan sebahagian premis, kerana tidak ada lesen, semalam.
Jamal berkata sepatutnya, wakil rakyat di situ berterima kasih kepadanya kerana usahanya menjadikan kawasan itu sebagai lokasi pelancongan terkenal.
Semalam, MDSB merobohkan resort itu di Sekinchan selepas menghantar notis perintah tutup pada sebelah pagi.
Notis bertarikh 22 Disember itu antara lainnya menyebut pemilik Sekin Fisherman Village Hotel & Resort menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen yang sah daripada pihak berkuasa.
Notis juga menyebut pemeriksaan MDSB mendapati Jamal telah melakukan kesalahan tersebut di atas Lot 13081,13082 dan 13083 Jalan Pantai Redang, Sekinchan.
Jamal dalam catatan di Facebook mendakwa arahan perobohan itu dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.