Video lelaki diserang di luar masjid tular

KiniTV 2017-05-05

Views 5.9K

Video yang memaparkan seorang lelaki diserang di luar masjid di Austin Perdana, Johor, telah menjadi tular di media sosial.

Menurut laporan media mengenai perkara itu dan akaun Facebook, kejadian tersebut berlaku apabila lelaki yang memandu kereta Toyota Camry membunyikan hon tidak henti-henti semasa solat Jumaat.

Rupa-rupanya, kenderaannya telah terhalang oleh beberapa kereta yang diletakkan di luar masjid.

Dalam salah satu video, lelaki itu dilihat cuba memandu laju apabila berdepan sekumpulan orang yang bertindak memukul dan menendang keretanya, tetapi tidak dapat berbuat demikian.

Seorang lelaki dilihat memukul pemandu tersebut dengan kon trafik merah berulang kali manakala beberapa individu lain berusaha menenangkannya.

Seorang wanita, yang dipercayai berada di dalam kereta turut dilihat cuba untuk menghentikan serangan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, berdasarkan rakaman video itu, pemandu kereta berkenaan dilihat dikejar orang ramai sebelum cuba mengundurkan keretanya dan hampir melanggar orang ramai serta kenderaan lain.

Selain itu, seorang lelaki turut kelihatan memukul lelaki berkenaan menggunakan kon.

Seorang saksi kejadian, Muhammad Akmal Bakar, 18, berkata dia mendengar bunyi hon kenderaan ketika memasuki rakaat kedua solat.

"Bunyi itu amat kuat dalam tempoh dua hingga tiga minit dan mengganggu sembahyang," katanya yang pertama kali menunaikan solat Jumaat di surau tersebut.

Pelajar tingkatan enam itu berkata, sejurus keluar dari masjid, dia melihat beberapa individu menghentak kereta berkenaan dengan tangan selain turut mengejar kenderaan tersebut.

"Kereta itu bergerak ke depan dan mengundur dua kali dengan laju. Ada individu turut menghentak kereta menggunakan topi keledar," katanya yang melihat ada jemaah yang cuba meredakan keadaan.

Wakil surau yang enggan dikenali berkata pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Katanya surau tersebut mendapat kelulusan melaksanakan solat Jumaat sejak beberapa tahun lepas dan kejadian seumpama itu baru pertama kali berlaku.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata polis sedang menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan suspek merupakan sekumpulan lelaki.

Beliau menerusi kenyataan berkata pemandu kereta itu iaitu seorang jurutera lelaki berumur 28 tahun membuat laporan kejadian di Balai Polis Setia Indah, di sini dan dia mengalami luka di kepala serta badan akibat kejadian terbabit.

"Punca kejadian adalah ekoran daripada kesesakan jalan raya dan halangan di hadapan surau yang telah menyukarkan pergerakan pengadu (pemandu kereta) yang sedang melalui jalan tersebut.

"Pengadu telah membunyikan hon yang menimbulkan kemarahan beberapa orang yang bersolat Jumaat dan beberapa individu telah bertindak memukul kereta dan pengadu," katanya.

Menurut Kamarul Zaman, perjumpaan kemudian diadakan antara pengadu dan ahli jawatankuasa surau terbabit dan kedua-dua pihak bersetuju menyerahkan kes berkenaan kepada polis.

Polis sehubungan itu menyeru orang ramai supaya tidak menularkan insiden itu dan meminta suspek terlibat menyerah diri untuk membantu siasatan, katanya.

Share This Video


Download

  
Report form