Video memaparkan seorang wanita berusia 20an dijadikan tebusan lebih dua jam oleh seorang penjenayah di Jalan Damai, Kota Kinabalu malam tadi.
Bagaimanapun, wanita terbabit berjaya diselamatkan polis pada 9.35 malam, selepas dibawa lari oleh suspek pada 7.45 malam dari rumahnya di Taman Istimewa, Luyang.
Berita Harian melaporkan Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abdul Rahman berkata sebelum kejadian suspek berusia 27 tahun dipercayai masuk ke sebuah rumah di taman itu untuk merompak.
"Bagaimanapun, selepas kita mendapat maklumat mengenai rompakan itu, anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum terserempak dengan suspek yang kemudian cuba melarikan diri.
"Dalam keadaan terdesak, suspek yang dipercayai warga asing itu kemudian menarik seorang wanita yang juga jiran rumah dirompaknya yang kebetulan berada di luar rumah ketika itu, sebelum melarikan diri bersama wanita itu.
"Suspek kemudian mengheret mangsa hingga ke Jalan Damai sejauh kira-kira 1.5 kilometer dengan mengacu sebilah pisau 15 sentimeter di leher mangsa," katanya dalam sidang media di sini, sebentar tadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1968 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
George berkata, mangsa berjaya diselamatkan selepas rundingan lebih sejam dengan suspek.
"Suspek kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.
"Mangsa pula dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) untuk rawatan lanjut. Setakat ini, kami belum mengetahui bagaimana keadaan mangsa tetapi dia agak trauma," katanya sambil menambah motif suspek memang untuk merompak rumah sebelah.