Letupan yang meletus semasa konsert pada malam Isnin di Manchester yang menampilkan penyanyi AS Ariana Grande menyebabkan sekurang-kurangnya 19 penonton terbunuh dan kira-kira 50 lagi cedera, dalam kejadian yang disifatkan polis British sebagai angkara pengganas.
Polis berkata, mereka bertindak balas kepada laporan letupan dan terdapat beberapa kematian yang disahkan dan kecederaan di stadium itu yang mampu memuatkan 21,000 orang.
Seorang saksi yang menghadiri konsert itu berkata, beliau merasa letupan besar ketika meninggalkan stadium, diikuti dengan jeritan dan ketergesaan ribuan orang untuk melarikan diri.
"Kami sedang berjalan keluar dan apabila berada dekat pintu, terdapat satu letupan yang besar dan semua orang menjerit," kata Catherine Macfarlane kepada Reuters.
"Ia satu letupan yang besar - dapat dirasai di dada. Keadaan menjadi huru-hara. Semua orang berlari, dan menjerit dan cuba untuk keluar..."
Para saksi melaporkan terdapat ramai kanak-kanak di konsert itu.
Menurut beberapa individu yang berada di konsert itu, dua letupan kedengaran di dalam stadium.