Israel hari ini membuka semua peralatan pengawasan yang dipasang di pintu masuk Masjid Al-Aqsa, lapor agensi berita Xinhua.
Awal pagi tadi, pihak berkuasa Israel dilihat mula menanggalkan dan membawa keluar pagar elektronik dan kamera pengawasan yang sebelum ini dipasang di setiap pintu masuk masjid suci itu.
Sebaik sahaja berita itu tersebar, ribuan umat Islam berarak meraikan 'kemenangan' di jalanan, dengan sebahagian daripada mereka mengagihkan gula-gula dan manisan kepada kanak-kanak.
Israel memasang peralatan pengawasan keselamatan di Masjid Al-Aqsa susulan kes tembakan yang menyebabkan kematian dua anggota polisnya pada 14 Julai lalu.
Tindakan provokasi pihak rejim itu menimbulkan bantahan di kalangan umat Islam dan sebagai langkah protes, mereka enggan memasuki masjid berkenaan dan bertindak menunaikan solat di jalanan.
Bantahan yang kemudiannya bertukar menjadi rusuhan berdarah setakat ini menyebabkan kira-kira 10 terbunuh.
Pemimpin Islam tempatan bagaimanapun masih ragu-ragu dengan tindakan terbaharu rejim Zionis itu, meminta agar umat Islam menunaikan solat di jalanan sehinggalah mereka benar-benar pasti Israel telah menarik balik penggunaan peralatan pengawasan di masjid tersebut serta mengekalkan status quo Masjid Al-Aqsa.
Gabenor Palestin di Baitulmaqdis Adnan Husseini berharap "Israel serius mengenai langkah yang diambil itu dan tidak mempunyai agenda tersembunyi di sebaliknya".
Katanya pemimpin Islam tempatan akan menimbangkan dengan teliti perkembangan terbaharu itu sebelum memutuskan sama ada protes akan diteruskan atau sebaliknya.
Rakyat Palestin membantah langkah keselamatan yang diambil Israel di tapak suci itu dan menganggap tindakan tersebut bakal mengubah status quo serta mengganggu hak lawatan orang Islam ke masjid tersebut.
Mereka juga menyifatkan ia sebagai usaha Israel meningkatkan cengkaman di tapak suci itu.