Ceroboh premis pajak kereta, Yusuf-Abg Ali didakwa

KiniTV 2017-10-24

Views 2.2K

Muhamad Yusof Azmi dan Ali Salimin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar dan menceroboh Stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd, Julai lalu.
Yusuf dan Ali yang merupakan Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM dan Ketua Pegawai Unit Tindakan Khas PPIM mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.
Kedua-dua didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd, Lot 1926A, Sungai Sikamat, Jalan Cheras Batu 13, Kajang pada 3.30 petang, 10 Julai lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama melakukan pencerobohan jenayah di tempat sama, antara 3.30 petang sehingga 7.30 malam pada hari yang sama.
Untuk perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mereka dibebaskan masing-masing dengan jaminan RM5,000 dan mahkamah menetapkan 24 November untuk sebutan semula.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Tharih Afendi.

Share This Video


Download

  
Report form