Seorang wanita Islam mendakwa dia kecewa dengan layanan restoran McDonald di utara London, hanya kerana dia memakai tudung.
Dalam rakaman kejadian yang tular di media sosial, pelajar berusia 19 tahun itu berkata dia masuk ke premis itu untuk beratur membeli makanan dan kemudian ditahan seorang pengawal keselamatan.
Memetik laporan The Independent, wanita itu mendakwa pengawal keselamatan itu menyuruhnya agar menanggalkan tudung ketika berada di premis itu.
Wanita itu kemudian memaklumkan kepada pengawal keselamatan itu bahawa dia memakai tudung kerana tanggungjawab agama.
Bagaimanapun, wanita itu ternyata kecewa dengan layanan tersebut dan membatalkan niatnya untuk memesan makanan.
Sementara itu, McDonalds dalam satu kenyataan meminta maaf dan kesal berhubung insiden tersebut.
Menurut kenyataan itu, pengawal keselamatan dari syarikat pihak ketiga tersebut, telah digantung.
Kata kenyataan itu lagi, McDonalds tidak mempunyai dasar yang menyekat atau menghalang sesiapa yang memakai tudung atau pakaian agama lain masuk ke restoran mereka.