Perkembangan nahas helikopter awam di Semenyih. Menurut bernama laporan awal mendapati helikopter terhempas dan terbakar. Terdapat enam mangsa dalam pesawat berkenaan. Maklumat awal mendedahkan, bangkai helikopter ditemui kira-kira jam 6.10 petang. Tiga mangsa termasuk dua rentung berjaya ditemui, manakala, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan ke atas tiga lagi mangsa. Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, pesawat yang terhempas adalah milik swasta S365 (Solitaire Services) yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Subang. Maklumat turut tersebar, helikopter tersebut membawa beberapa orang kenamaan dan pegawai kerajaan. Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata, tiga mayat nahas helikopter itu telah ditemui, dan pihak berkuasa sedang mencari tiga lagi penumpang lain. Jurucakap pasukan penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata, kemalangan itu berlaku ketika hujan dan angin kencang. Unit forensik polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa nahas itu.