Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberikan bayangan akan melepaskan kerusinya di FAM tidak lama lagi.
Dalam video 'Azam Tahun Baru 2018 - Tunku Mahkota Johor' yang dimuat naik di laman JOHOR Southern Tigers semalam, TMJ berkata akan ada presiden baru kerana baginda tidak lama (sebagai presiden).
"Selepas itu saya mengharapkan ada satu presiden baharu, Superman jadi Presiden FAM kerana saya tidak lama (sebagai presiden)"
"Hari terakhir saya jadi Presiden FAM mungkin 2018 atau 2019. Bergantung, lagi cepat lagi bagus"
Tunku Ismail menerajui badan induk bola sepak negara itu apabila dilantik selaku Presiden FAM bagi penggal 2017-2021 pada Kongres Tahunan FAM, 25 Mac lalu.
Sekiranya Tunku Ismail benar-benar melepaskan jawatannya, bola sepak negara menerima tamparan yang begitu besar memandangkan ketika ini, tiada lagi calon yang dilihat layak untuk menggantikan tempat baginda.