Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan keterujaan dan kegembiraan melihat semangat yang ditunjukkan oleh rakyat pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Perdana hari ini.
Semangat itu, kata perdana menteri, adalah sangat baik dan mencerminkan masa depan cerah kepada negara di bawah kerajaan Pakatan Harapan, dengan pengunjung yang beratur sejak 8.30 pagi, turut mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana menyelamatkan negara.
“Ramai rakyat yang hadir hari ini memberi sokongan kuat pada kami. Saya minta maaf tidak dapat bersalaman dengan semua yang hadir.
“Tetapi saya amat menghormati dan berterima kasih kepada rakyat yang begitu gembira menunjukkan mereka menghargai usaha kerajaan Pakatan Harapan menyelamatkan negara,” katanya di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri 2018 di Putrajaya.
Justeru, beliau berkata pengunjung yang bersalaman dengannya menyuarakan sokongan, malah ada yang menyebut “I love you’.
“Kita tidak pakai plakad ‘I love PM’. Pengunjung tidak bawa itu semasa salam tetapi mengatakan ‘I love you’ kepada saya,” katanya dengan disambut tepukan gemuruh.
Dr Mahathir berkata majlis rumah terbuka yang diadakan pada hari kebesaran seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha mampu menyatupadukan rakyat berbilang kaum.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pengunjung.
Terdahulu, keadaan menjadi agak tidak terkawal dan sesak apabila orang ramai berpusu-pusu mahu bersalaman dengan Dr Mahathir.
Setakat 12.05 tengah hari, seramai 30,000 pengunjung hadir ke rumah terbuka yang berlangsung dari 10 pagi hingga 4.30 petang.