Jamal layak tanding KP Umno selagi tak dibuktikan bersalah - Pegawai pejabat Umno

KiniTV 2018-06-19

Views 11

Datuk Seri Jamal Md Yunos layak untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan akan datang selagi tidak dibuktikan bersalah kata Ketua Setiausaha Bahagian, Ibu pejabat UMNO, Datuk Norazuwan Aziz.

Menurut Norazuwan selagi Ketua Umno Bahagian Sg Besar itu tidak dibuktikan bersalah beliau layak untuk bertanding.

"Selagi dia tak dibuktikan bersalah, dia tak boleh dikatakan bersalah", kata Norazuan selepas proses pengundian nombor calon-calon yang bertanding di ibu pejabat Umno petang semalam.

Jamal yang melarikan diri daripada buruan polis sejak bulan lalu bertanding jawatan ketua pemuda dalam pemilihan Umno kali ini.

Pada 25 Mei lepas, Jamal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan SUK pada 5 Okt tahun lepas.

Prosiding kes tersebut dijalankan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur berikutan Jamal sedang dirawat di wad Premier hospital berkenaan bagi masalah sakit belakang, dan dia kemudian dilaporkan menghilangkan diri ketika Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam sedang menguruskan proses ikat jaminnya kira-kira 5.30 petang.

Susulan itu, Mahkamah Majistret Ampang pada 1 Jun lepas mengeluarkan waran tangkap ke atas Jamal mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

Share This Video


Download

  
Report form