Lebih kurang 20 'pejuang bahasa' diketuai pemimpin dari Majlis Perundingan Melayu (MPN) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) hari ini berkumpul di pekarangan Masjid Putra, Putrajaya sebagai membantah tindakan Menteri Kewangan yang baru, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina – ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange, Khamis lalu.
Kumpulan itu sempat berkumpul kira-kira setengah jam selepas sembahyang Jumaat, sebelum beredar ke Kementerian Kewangan bagi menyerahkan memorandun bantahan berkenaan.
Bersama beberapa sepanduk, kumpulan itu melaungkan beberapa slogan, antaranya 'hidup Bahasa Melayu' ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dan 'sayangi Bahasa Melayu’.
Beberapa tokoh turut menyampaikan ucapan di demonstrasi itu, termasuk bekas ketua polis negara, Tun Hanif Omar yang juga Lembaga Penasihat MPM, bekas yang dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Anggota Lembaga Penasihat MPM, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Ketua Dua Gapena, Amiruddin Md. Ali Hanafiah.