GST harus tetapi perlu ikut enam parameter syarak
Oleh NURULANUAR MANSOR
PUTRAJAYA 20 April - Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, yang bermuzakarah hari ini, sekali lagi menegaskan bahawa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak 1 April lalu adalah harus mengikut hukum syarak.
Pun begitu, Pengerusi Muzakarah jawatankuasa tersebut, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin berkata, pelaksanaan cukai berkenaan hendaklah berpandukan kepada enam parameter yang telah ditetapkan oleh syarak.
Enam parameter syarak itu, kata Dr Abd Shukor ialah:
1. Kerajaan komited melaksanakan syariat Islam
2. Kerajaan memerlukan sumber kewangan.
3. Cukai yang dikutip hanya untuk memenuhi Maslahah Dharuriyat dan Hajiat seperti memenuhi tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat serta untuk keperluan jihad fi sabilillah.
4. Bebanan cukai dikutip secara adil.
5. Cukai dibelanjakan untuk Maslahah Umum bukan untuk maksiat
6. Agihan cukai hendaklah bertepatan dengan ijtihad ulama semasa dan setempat.
Dr Abd. Shukor turut menegaskan, keputusan dan pendapat mengenai GST telah dibuat berdasarkan kajian-kajian serta telah mengambil kira pendapat-pendapat berbeza para ulama mengenainya.
"Adalah tidak wajar untuk menuduh keputusan yang telah dibuat oleh muzakarah terhadap isu GST adalah longgar dan tidak selari dengan syarak kerana jawatankuasa ini bersandarkan kepada maslahah," katanya dalam sidang akhbar di sini tengah hari ini.
Tambah Abd. Shukor, maslahah dalam isu GST perlu difahami dalam konteks yang luas dalam hukum fiqah iaitu maslahah dharuriyat dan hajiat. - UTUSAN ONLINE