Bangunan Sri Pentas di Bandar Utama dikosongkan malam tadi berikutan ancaman bom.
Saksi di tempat kejadian memberitahu Malaysiakini bahawa polis mengeluarkan arahan mengosongkan bangunan sekitar 10.30 malam.
Kira-kira 200 kakitangan Media Prima kemudian bertindak keluar dari bangunan itu.
Bagaimanapun mereka dibenarkan masuk semula ke dalam bangunan selepas pemeriksaan selama dua jam tidak menemui sebarang alat atau objek mencurigakan.
Bercakap dengan pemberita di tempat kejadian, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.20 malam oleh seorang lelaki yang mendakwa telah memberi arahan kepada pengikutnya untuk meletakkan bom di bangunan itu.
"Tindakan pertama kita adalah (mengarahkan) mengosongkan bangunan dan selepas itu kita telah membuat pembersihan bersama dengan unit pemusnah bom dari IPK Selangor dan IPD Petaling Jaya," katanya.
Operasi selesai kira-kira 1.20 pagi.
TV3 juga menyiarkan pengumuman di saluran itu berhubung pembatalan rancangan berita Nightline "atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan".
Malaysiakini juga difahamkan unit pengesan bom PDRM tiba kira-kira pukul 11.40 malam untuk mengendalikan situasi itu.
Difahamkan sebuah trak bomba dengan enam bomba, anggota polis dan satu unit K9 PDRM (unit pengesan anjing) serta ambulans ditempatkan di luar bangunan sebagai langkah berjaga-jaga.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada polis berhubung insiden itu pada pukul 11.19 malam.
Menurut Zani, kejadian itu akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah.