Program pemberian air percuma kepada rakyat Selangor akan hanya diberikan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) mulai tahun depan, bukan lagi untuk seluruh isi rumah seperti dinikmati sejak 2008.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata langkah penjajaran semula program tersebut dibuat bagi memenuhi matlamat asal program iaitu meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Justeru, katanya, mulai tahun depan, kadar percuma untuk 20 meter padu pertama setiap bulan akan dinaikkan kepada 25 meter padu bagi golongan B40.
"Kerajaan negeri yakin golongan B40 ini akan mendapat lebih manfaat daripada penjajaran semula air percuma nanti,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019 berjumlah RM2.56 bilion di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam hari ini.