'Saksi rusuhan kuil enggan tampil kerana takut ditangkap'

KiniTV 2018-12-27

Views 6.1K

Salah seorang anggota petugas khas Kuil Seafield Sri Maha Mariamman mendakwa saksi rusuhan bulan lalu keberatan tampil menunjukkan bukti kerana takut dengan tindakan polis.

Bercakap kepada media hari ini, A Elangovan mendakwa saksi berasa demikian susulan penahanan yang dibuat polis berhubung insiden itu sebelum ini.

"Sebelum ini, saksi kami mempunyai banyak video dan bukti, tapi kini mereka tidak berani tampil kerana takut polis akan tangkap mereka.

"Ini apa yang terjadi sebelum ini, polis secara ambil gambar dari media sosial, dan muat naik ke media cetak dan media sosial meminta mereka tampil di balai polis Subang Jaya untuk beri keterangan.

"Dan akhirnya, mereka ditangkap," katanya selepas memimpin sekumpulan individu menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur, hari ini.

Elangovan turut mendakwa bahawa antara 30 hingga 35 orang, termasuk yang membuat Facebook Live ketika rusuhan, sebelum ini sudah ditahan selepas memberi keterangan kepada polis. Sesetengahnya direman tiga hingga 11 hari, katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi polis untuk ulasan.

Ketua Polis Negara Muhammad Fuzi Harun sebelum ini berkata 42 individu sudah ditahan berhubung rusuhan berkenaan. Sejumlah 24 individu sudah didakwa di mahkamah.

Ketika penyerahan memorandum berkenaan, Elangovan bertanya sama ada Suhakam dapat melindungi saksi dan menjadi orang tengah dalam menyalurkan maklumat kepada polis.

Elongovan juga menyatakan kesediaan mengumpul semua video bukti daripada orang awam dan menjadi wakil untuk berjumpa polis.

Pengerusi Suhakam, Razali Ismail kemudian menegaskan bahawa pihaknya tidak akan masuk campur dengan siasatan polis berhubung rusuhan itu dan tidak dapat memberi jaminan individu yang memberi maklumat tidak ditangkap.

Memorandum itu ditandatangani 30 NGO termasuk Malaysia Indian Action Force, Majlis Pemuda India Malaysia dan Persatuan Peguam Hindu.

Share This Video


Download

  
Report form