Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan pihaknya lambat bertindak membantu mangsa pencemaran Sungai Kim Kim di daerah Pasir Gudang, Johor.Menterinya Dr Dzulkefly Ahmad berkata, rawatan perubatan diberikan sejak hari pertama kejadian itu.“KKM bertindak sejak hari pertama lagi. Saya menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor sejak hari pertama dan telah beri rawatan sejak kes, baik yang serius mahu pun yang ringan.“Ada yang kami masukkan untuk observation (pemerhatian) jadi isu KKM bertindak lewat memang tidak benar sama sekali,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di lobi parlimen, hari ini.Dr Dzulkefly juga menafikan spekulasi bahawa ada antara mangsa yang meninggal dunia akibat pencemaran bahan kimia itu.Setakat ini, sejumlah 937 orang dirawat dengan 12 daripada mereka masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) berikutan pencemaran akibat pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Khamis lalu.Berikutan itu, kerajaan juga mengarahkan semua 111 sekolah di Pasir Gudang, ditutup serta-merta mulai semalam sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.