Gerakan Pembela Ummah (Ummah) kecewa kerana Peguam Negara Tommy Thomas enggan bertemu mereka untuk menyerahkan memorandum mendesaknya meletak jawatan.
Pengerusinya Aminuddin Yahya mendakwa Tommy Thomas berada di pejabatnya, namun tidak mahu bertemu mereka walaupun rayuan sudah dibuat untuk berjumpanya.
Sebaliknya memorandum berkenaan hanya diserahkan kepada wakil peguam negara.
"Sebenarnya kita difahamkan peguam negara ada di atas (pejabatnya), tapi peguam negara tidak mahu jumpa.
"Tidak mahu jumpa atas alasan yang hanya peguam negara saja mengetahuinya, walaupun kita merayu untuk berjumpanya," katanya selepas menghantar memorandum di pejabat peguam negara di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, Ummah menghantar memorandum mendesak peguam negara meletak jawatan dan merancang untuk mengadakan solat hajat seluruh negara selepas Aidilfitri bagi menuntut keadilan terhadap kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.