Hasil tular video rumah warga emas, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya dan satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa yang terdekat selepas siasatan selesai.
Penjaga didakwa mengabaikan penghuninya malah mereka juga dikatakan didera sejak kira-kira dua tahun lalu.
Maklumat itu tular selepas status mengenainya dimuat naik oleh sebuah akaun Facebook, ‘Cik Pah Cik Ton’ yang mendakwa sebagai pembela warga emas sejak petang semalam.
KiniTV mendapati akaun FB itu sudah dipadamkan.
Dalam muatnaiknya di FB, penghuni pusat jagaan warga emas berbayar itu antara lain dipukul, dikurung, dibiarkan kelaparan dan diikat di kerusi oleh penyelia wanita premis tersebut.
Yang menyedihkan, dakwanya warga emas itu juga dipaksa minum air kencing, makan cili dan diberi ubat tidur secara berlebihan.
Sebanyak 16 kematian dilaporkan di pusat itu sejak tahun 2017 dan angka itu dikatakan tinggi untuk sebuah pusat yang dibenarkan menjaga antara enam hingga 12 orang warga emas.