Pemuda Umno tak ingin dikaitkan mana-mana kem dalam PH

KiniTV 2019-06-21

Views 1

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan parti itu tidak ingin dikaitkan dengan mana-mana “kem” yang wujud dalam Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, menurut bekas timbalan menteri itu, pemuda Umno akan lebih menumpukan kepada isu-isu berkaitan hal keperluan dan keperitan rakyat terutamanya masalah kos sara hidup.

“Pendirian Umno jelas, kita tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana kem yang hari ini sedang bergolak dalam kerajaan, sama ada kem (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad atau (Presiden PKR) Anwar Ibrahim.

“Pemuda Umno konsisten, dalam Perhimpunan Agung Umno lepas, tidak akan rela parti ini terjebak dengan perundingan pintu belakang untuk menjadi kerajaan.

“Bagi kita, kita adalah parti yang bermaruah, parti yang ke hadapan dengan realiti kehendak rakyat, rakyat telah hukum Umno dan BN dalam pilihan raya lepas dan kita dalam proses bangkit kembali dengan satu perubahan yang positif berasakan apa rakyat kehendaki,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat bulanan Pemuda Umno di Menara Tun Hussein Onn di PWTC, Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau juga menyifatkan klip video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali seolah-olah mencerminkan budaya politik negara ini begitu hodoh sekali.

“Seperti mana saranan saya sebelum ini, saya amat berdukacita dan rasa amat begitu kesal dengan timbulnya video yang dikaitkan dengan menteri Kabinet PH.

“Ini telah malukan kita, seolah-olah budaya politik Malaysia begitu hodoh sekali…adanya penyebaran ini, ini hanya permainan pergolakan politik dalaman yang tiada kaitan dengan Umno dan kita tak nak libatkan dengan hal sedemikian,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku terlibat dalam klip video lucah yang tersebar dan menuduh Azmin sebagai seorang lagi lelaki dalam rakaman tersebut.

Azmin bagaimanapun, menafikan dakwaan itu.

Share This Video


Download

  
Report form