Presiden PKR Anwar Ibrahim berpandangan timbalannya Mohamed Azmin Ali perlu meletakkan jawatan daripada Kabinet jika terbukti beliau terlibat dalam video seks yang kini dalam siasatan polis.
“Pandangan awal saya, dia tak perlu letak jawatan.
Tapi (sekarang) bergantung kepada penyiasatan.
Kalau video itu tak sahih saya tak fikir Azmin harus mengambil cuti.
Ia bergantung kepada siasatan...
"Kalau konklusif, dalam erti kata (dia merupakan) pelaku dalam adegan itu, sudah tentu dia kena letak jawatan.
"Tetapi jika kita belum memastikan kebenaran dan kesahihan orang dalam video itu, maka dia ada pilihan,” katanya ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen hari ini, sama ada Azmin perlu meletakkan jawatan.
Semalam, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin menggesa pemimpin politik yang dikaitkan dengan salah laku agar bercuti sementara dan "tidak berselindung di sebalik jawatan tinggi...apatah lagi di belakang perdana menteri".
Meskipun tidak menyebut secara langsung, kenyataaan Shamsul itu dipercayai merujuk kepada Azmin yang dikaitkan dengan video seks sejenis bersama bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.