Menyingkap kembali kejayaan Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PH berkata buat sebelum gabungan itu berkuasa, kesemua komponen parti telah bersama-sama mengetepikan perbezaan-perbezaan seperti dendam, marah serta rasa benci yang wujud.
"Kenapa kita boleh ketepikan itu semua? Kerana kita sedar dan nampak akan kerosakan yang telah dan sedang berlaku ketika itu, dan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara serta rakan-rakan seperjuangan mereka. Kita juga sedar jika kita tak lakukan sesuatu untuk menyekat mereka (merujuk kepada BN), masa depan negara dan anak cucu kita akan hancur berkecai.
"Kita bertemu dan berbincang. Kita bertengkar dan kemudian berdamai. Kita bercanggah pendapat dan kita juga bertolak ansur. Walaupun mungkin masih ada saki baki rasa tak puas hati terhadap beberapa perkara, kita ketepikan dan kita maju sebagai satu pasukan," katanya dalam ucapan pada Majlis Temurapat Pimpinan Keadilan Pusat di Port Dickson, malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR Anwar Ibrahim serta barisan pimpinan PKR pusat dan negeri.
Berbicara lanjut, perdana menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata PH juga buat julung kalinya sebagai gabungan pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, bersetuju menggunakan simbol PKR memandangkan Pendaftar Pertubuhan tidak membenarkan simbol PH digunakan.
Katanya, semua ini dilakukan kerana semua pihak dalam gabungan mengambil sikap bahawa menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia yang sayangkan negara, untuk bertindak menyekat kerosakan-kerosakan yang sedang berlaku dan dilakukan ketika itu.
"Saya yakin, semasa kita ambil tanggungjawab tersebut, kita berpegang pada prinsip jika bukan kita, siapa lagi. Jelas keputusan yang kita ambil untuk bersama-sama di dalam Pakatan Harapan adalah keputusan yang tepat, dan majoriti rakyat mengundi kita memastikan kita menang PRU14 dan menolak BN," katanya.