Sultan teliti enakmen tukar agama, kata MB S’gor

KiniTV 2019-08-13

Views 626

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sedang meneliti cadangan pindaan enakmen negeri yang bakal membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Bercakap kepada pemberita di Shah Alam, Amirudin berkata bahawa keputusan sama ada untuk membentangkan enakmen itu hanya akan dibuat selepas keputusan dicapai.

“Kita akan pastikan (perkara ini) dibincangkan dengan teliti sebab perkara ini melibatkan perlembagaan persekutuan terutama berhubung beberapa penafsiran dan sebagainya.

“Jadi kita perlu merujuk kembali (kepada perlembagaan).

“Pada waktu ini pihak DYMM Tuanku Sultan juga sedang meneliti kembali kertas tersebut

dan saya harus merujuk semula kepada Tuanku setelah buat rundingan dengan semua parti dan pemimpin baik di peringkat Selangor mahupun persekutuan,” katanya.

Amirudin sebelum itu hadir pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidiladha di kediaman rasmi MB Selangor di Shah alam, pada Isnin.

Beliau mengulas rancangan kerajaan negeri untuk meminda enakmen Islam Selangor yang menghadapi jalan buntu apabila Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim memendekkan sidang DUN hanya kepada dua hari, pada 31 Julai lalu.

Ng, bagaimanapun, menafikan beliau memendekkan sidang DUN untuk hanya dua hari untuk mengelakkan enakmen itu daripada dibentangkan.

Ditanya mengapa perkara itu hanya dibangkitkan sekarang dan bukannya semasa pentadbiran negeri terdahulu, Amirudin berkata terdapat rancangan itu sebelum ini.

“Ada beberapa pertimbangan sebelum ini patut dibawa tahun-tahun sebelum ini, jadi kita lihat pada kebijaksanaan, ini pihak berkuasa agama yang susun.

“Jadi kita lihat dan meneliti, masing-masing sedang meneliti bila dah buat keputusan baru kita akan fikirkan langkah-langkah seterusnya,” katanya.

Share This Video


Download

  
Report form