Kit Siang perlu 'cuci kepala' Dong Zong, kata Rais

KiniTV 2019-08-14

Views 1

Pemimpin Bersatu Dr Rais Yatim menggesa para pemimpin DAP supaya “mencuci kepala” pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong yang mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi dalam buku teks Tahun 4 bahasa Melayu adalah sebagai satu bentuk "Islamisasi".

Mengulas isu pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil yang telah menjadi isu perkauman, bekas menteri itu berkata, kelantangan Dong Zong dan mereka yang membantah itu adalah kerana mereka tahu bahawa semua pagar untuk bersifat silu segan sudah tidak ada.

“Orang Melayu pula dah dalam keadaan simpang-perenang dalam perpecahan politik.

“Kerja mencuci kepala mereka mesti dibuat kini oleh (pemimpin veteran DAP Lim) Kit Siang dan rakan-rakannya,” katanya dalam satu hantaran di Twitter hari ini.

Pengenalan pembelajaran tulisan Jawi itu tidak dipersetujui oleh beberapa pihak terutamanya bukan Melayu termasuk Dong Zong yang kemudiannya melancarkan satu petisyen bagi membantah tindakan itu.

Ini di sebalik pengumuman Kementerian Pendidikan pada 8 Ogos lalu bahawa pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil akan dilaksanakan secara pilihan, dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran.

Keadaan semakin kusut susulan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, pada Isnin lalu yang melabelkan Dong Zong sebagai “rasis”.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu tidak bersetuju dengan dakwaan Dong Zong adalah rasis dan mempertahankan hak gabungan itu untuk menyatakan pandangannya.

Share This Video


Download

  
Report form