Sebuah pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan operasi pembenihan awan (OPA) di lima kawasan di Sarawak, yang sebelum ini teruk terjejas jerebu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pesawat yang bergerak dari Labuan, Sabah, itu melakukan proses terbabit bermula tengah hari semalam.
“Lokasi pembenihan awan adalah di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong. Dalam proses pembenihan awan ini, kita turut mendapat kerjasama daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), TUDM, Jabatan Bekalan Air Labuan dan Jabatan Meteorologi Malaysia.