Ibu bapa tidak sepatutnya menjadikan sekolah agama khususnya pusat tahfiz sebagai tempat untuk melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak dalam bidang agama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Memahami kekangan akibat sibuk bekerja antara punca kecenderungan itu, Mujahid bagaimanapun berkata teras pendidikan anak-anak bukan hanya terletak kepada guru, tetapi bermula dengan ibu bapa yang boleh dijadikan contoh yang dikagumi oleh anak-anak.
Mujahid berkata penubuhan sekolah-sekolah agama swasta dan pusat-pusat tahfiz yang umpama cendawan tumbuh selepas hujan ketika ini adalah disebabkan oleh trend berkenaan.
"Ada juga ibu bapa yang cari sekolah kalau boleh anak dia tak balik rumah, selesai masalah. Dengan harapan balik hujung minggu ambil, selepas itu cepatlah tunggu hari Isnin nak hantar anak itu balik (ke sekolah)," katanya.
Mujahid berkata oleh kerana permintaan tinggi untuk pendidikan Islam dan tahfiz, ada pihak mengambil kesempatan hanya untuk mendapatkan untung menubuhkan pusat tahfiz berbanding tanggungjawab mengisi kurikulum sekolah dengan baik.