Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Zuraida menegaskan gabungan itu tidak perlu lagi menyentuh atau membincangkan mengenai isu peralihan kuasa bagi jawatan perdana menteri kelapan.
Kata Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan, ini kerana sudah tiba masanya pemimpin PH mula bekerja dan memberi perkhidmatan kepada rakyat.
"Kita dah tak nak sentuh isu ini. Tiada lagi isu perdana menteri kelapan, tak ada lagi isu pengkhianatan.
"Kita kena 'move on' dan mula buat kerja dan fokus kepada ekonomi dan beri perkhidmatan kepada rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.
Zuraida berkata demikian mengulas percubaan menghalang Presiden PKR, Anwar Ibrahim daripada menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Anwar ketika berucap dalam Kongres PKR di Sabah, semalam mendakwa ada 'pengkhianat' yang mahu menghalang peralihan kuasa jawatan perdana menteri diserahkan kepadanya.
Tanpa menamakan siapa, Anwar berkata pengkhianat itu banyak membuat tuduhan menunjukkan beliau tidak sabar untuk menjadi perdana menteri.
“Kita sebenarnya harap tumpukan ekonomi saya tak bincang sangat sebenarnya pasal transisi (perdana menteri. Tapi ada orang khianat dan ini yang masalahnya mereka kata Anwar tak sabar jadi perdana menteri.
“Saya dah tunggu 20 tahun, kalau Allah kata nak jadi (perdana menteri) maka jadilah,” kata Anwar.