Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan agihan wang tunai petroleum (WTP) atau royalti perlu disalurkan secara terus kepada kerajaan Terengganu mengikut perjanjian asal.
Katanya, ia berdasarkan perjanjian asal yang dimeterai oleh Petronas bersama kerajaan Terengganu pada tahun 1975.
"Itu perjanjian, mungkin dia tak baca, kena bacalah. Mungkin dia baru dalam politik.
"Perkataan royalti ditulis dalam belanjawan tahun 80-an, 90-an malah dalam penyata kewangan juga ditulis sebagai royalti bukan perkataan lain," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Forum Multaqa Ulama Nusantara di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, perjanjian yang termaktub itu bukan hanya melibatkan Terengganu bahkan seluruh negeri di Malaysia.
"Jangan buta sejarah, dia kena baca balik perjanjian pada 1975 antara Petronas dengan semua kerajaan negeri, bukan Terengganu sahaja tetapi semua kerajaan negeri di Malaysia.