Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan terdapat pembayaran berjumlah RM31 juta menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk pelbagai tujuan.
Ini selari dengan nilai dana yang didakwa diseleweng Ahmad Zahid Hamidi oleh pasukan pendakwaan.
Perkara itu disahkan oleh saksi ke-27 perbicaraan, Pengurus Cawangan Affin Bank Cawangan Jalan Bunus, Kuala Lumpur, S Rajen Taran.
Ini setelah dia meneliti rekod cek, kiriman wang dan penyata kewangan milik Yayasan Akalbudi sepanjang Januari 2014 hingga November 2016.
Rajen merupakan saksi ke-27 perbicaraan tuduhan pecah amanah, rasuah, pengubahan wang haram membabitkan Ahmad Zahid Hamidi - pengasas, pemegang amanah dan penandatangan tunggal bagi Yayasan Akalbudi.
Tahun lalu, pihak pendakwaan mendakwa RM31 juta dana milik yayasan itu tidak disalurkan kepada golongan miskin semasa Zahid menjadi pemegang amanah, bertentangan dengan tujuan penubuhannya.