Kesemua prosiding terhadap 12 individu dalam perbicaraan yang didakwa terlibat dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) diberhentikan dan berkuatkuasa serta merta.
Perkara itu dilaksanakan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas mengikut kuasa budi bicaranya.
Dalam satu kenyataan, Thomas berkata terdapat elemen-elemen perbuatan pengganas di atas kesalahan memiliki gambar-gambar pemimpin-pemimpin LTTE dalam dalam telefon bimbit dan akaun Facebook mereka.
Bagaimanapun sukar bagi pendakwaan untuk membuktikan bahawa mereka tidak termasuk dalam kategori pengecualian Seksyen 130B(4) Kanun Keseksaan, yang mana ia sekadar terjumlah ‘sokongan, bantahan atau pertentangan pendapat'.
Antara 12 yang ditangkap itu adalah dua Adun dari DAP, P Gunasekaran dan G Saminathan.
Menurut Thomas, beliau membuat keputusan bahawa tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh ke atas mana-mana 34 pertuduhan tersebut.
Semua mereka ditahan pihak berkuasa pada 29 Oktober tahun lalu dan sejak itu didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau dikenali sebagai SOSMA.