Pemuda Bersatu (Armada) malam ini menyatakan pendirian mereka untuk bersama-sama Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad, yang enggan bekerjasama dengan Umno dan BN serta menjatuhkan kerajaan.
"Armada sebulat suara mempertahankan pendirian berprinsip Tun (Mahathir) untuk tidak menjatuhkan kerajaan dan menubuhkan kerajaan baru bersama Umno dan BN, khususnya secara en bloc," kata ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurut ahli parlimen Muar itu, langkah mereka memasuki politik juga bukan untuk mengkhianati mandat diberikan rakyat.
"Kita masuk politik adalah untuk membersihkan politik, bukan mengkhianati mandat rakyat, atau menjatuhkan kerajaan sedia ada serta bersekongkol dengan mereka yang kini dikenali sebagai pencuri," katanya dalam satu kenyataan ringkas malam ini.
Terdahulu Syed Saddiq mempengerusikan mesyuarat Armada di Petaling Jaya.