Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang di Perak apabila Perikatan Nasional (PN) kini mempunyai 32 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.
Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, berkata PN akan memohon perkenan untuk mengadap Sultan Perak bagi memaklumkan perkara itu.
"Saya dengan ini ingin memaklumkan kepimpinan Bersatu, Umno dan PAS Perak telah mencapai persetujuan untuk bentuk gabungan baru."
"Gabungan ini melibatkan empat Adun daripada Bersatu iaitu saya sebagai Adun Chenderiang dan Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi serta dua lagi Adun yang telah menyertai Bersatu iaitu Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dan Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohammed Radzi."
"Gabungan ini turut melibatkan kesemua 25 Adun daripada Umno dan tiga Adun daripada PAS. Dengan gabungan ketiga-tiga parti ini, maka PN negeri Perak dapat menubuhkan Kerajaan negeri Perak yang baru, dengan jumlah majoriti 32 Ahli Dewan Negeri," katanya dalam satu sidang media khas, di Ipoh, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Bin Haji Zakaria.