Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, menyambut baik pelantikan bekas Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
"Saya sedang teliti (kabinet baru). Apapun bagi saya yang baik adalah keterlibatan Dr Zulkifli (sebagai menteri hal ehwal agama Islam), mantan mufti Wilayah Persekutuan.
"Saya ucapkan beliau selamat maju jaya walaupun beliau penyokong Liverpool."
"Saya fikir beliau seorang berfikiran adil. Dia akan bersikap profesional sebagai menteri hal ehwal agama," katanya kepada pemberita di Majlis Pertahan Mandat Rakyat di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara malam tadi.
Fahmi yang juga anggota parlimen Lembah Pantai turut ditanya pemberita mengenai kabinet baru daripada segi keterlibatan wanita, purata umur anggota kabinet dan jumlah anggotanya.
"Buat masa ini, sama nampaknya jumlah wanita dalam kabinet baru cuma 12.85 peratus sahaja. Kalau dibandingkan dengan waktu PH dahulu kita lebih ramai wanita. Ini satu perkara yang dikesali."