Ketua penerangan sayap Wanita PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah ataupun lebih dikenali sebagi Ratu Naga dipecat daripada PKR pada 9 April lalu.
Beliau mendakwa pemecatannya dibuat tanpa alasan kukuh dan mengaku menerima surat pemecatan, namun tidak menghebohkannya kerana sibuk dengan kerja di barisan hadapan ketika Covid-19.
"Saya sekarang frontliner untuk Covid-19. Saya berkhidmat untuk Jabatan Pertahanan Awam.
"Saya tumpukan itu (kerja) dulu. Saya bertugas hari-hari, jadi pada saya, biar kita habiskan perintah kawalan pergerakan (PKP) dulu paling penting," katanya kepada Malaysiakini.
Jelas Syarul Ema lagi, beliau terkejut pemecatannya dibuat ketika negara tengah bergelut dengan wabak Covid-19 yang melanda.
"Kalau ya pun bagilah amaran ke apa. Boleh saya pertahankan diri saya. Masa tak sesuai, jadi saya tak boleh nak layan benda ni," katanya lagi.
Syarul Ema semangnya dikenali sebagai anggota PKR yang sebelum ini banyak bergerak bersama kumpulan Mohamed Azmin Ali khususnya Zuraidah Kamaruddin.