Kestabilan kerajaan negeri Johor Perikatan Nasional menjadi persoalan susulan bekas menteri besar Osman Sapian dilihat bersama beberapa pemimpin Pejuang semasa kempen pilihan raya kecil Slim.
Osman, malam tadi bersama-sama dengan orang kuat Dr Mahathir Mohamad, Abu Bakar Yahya di bilik operasi Pejuang di Felda Trolak Selatan.
Bekas menteri besar itu juga bergambar sambil melaungkan "calon nombor satu" yang adalah nombor kertas undi calon Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.
Namun, ketika dihubungi, Osman sekadar berkata kehadiran itu sekadar “jumpa kawan-kawan.”
Disoal adakah dia berkempen untuk Amir, Osman menjawab: "jengok-jengok.”
Dua minggu lalu, Osman menolak spekulasi bahawa akan ada Adun Johor Bersatu yang akan berpaling tadah dan menyertai Pejuang. Katanya, berita itu sekadar "khabar angin."