Kemakmuran bersama rakyat menjadi teras komitmen kerajaan yang diterajui parti Pakatan Harapan dalam merencana program dan dasar bagi merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, bermaruah dan merdeka.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun baharu sahaja memegang tampuk pemerintahan kira-kira setahun, kerajaan telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan berhasil dalam banyak perkara mengambil kira kedudukan kewangan negara yang diwarisi sebelumnya.
Beliau berkata demikian semasa menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara.
Dalam ucapannya, Tun Dr Mahathir memaklumkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara masih berterusan dan inisiatif-inisiatif untuk membina semula negara supaya menjadi lebih maju terus giat dilaksanakan.