Rosmah diganggu 3 individu di London?

KiniTV 2017-05-09

Views 13.3K

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menuduh laman web Sarawak Report menghendap dan mengganggu Datin Seri Rosmah Mansor - isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam catatan di blog malam tadi Salleh mendakwa laman web itu telah memaparkan "tingkah laku tidak beradab dan sopan” dengan mengganggu Rosmah - yang kini berada di kota London.

"Mereka melemparkan dakwaan fitnah yang tidak lain hanyalah satu pembohongan besar sambil berkata bahawa kebebasan media membolehkan mereka untuk berkata apa sahaja yang mereka suka.

"Kita menjangkakan masyarakat yang kononnya bertamadun di England untuk sekurang-kurangnya menghormati isteri seorang perdana menteri asing, tetapi nampaknya diplomasi hanya dikhaskan untuk jenis mereka sendiri," kata Salleh.

Adalah tidak jelas apa yang sebenarnya berlaku, tetapi catatan di blog itu mempunyai tajuk yang hampir sama dengan sebuah klip video di YouTube yang dimuat naik oleh blogger Raja Petra Kamaruddin bertajuk "Sarawak Report stalks and harasses Rosmah Mansor in London, 8th May 2017".

Video itu memaparkan tiga individu berdiri di luar perkarangan sebuah rumah yang kelihatan seperti di London.

Salah seorang individu berkenaan, seorang lelaki, kedengaran memberitahu orang yang merakam video tersebut bahawa mereka tidak seharusnya datang ke London jika tidak mahu gambar mereka durakamkan.

"Kamu tidak perlu datang ke sini jika tidak mahu terdedah dengan kewartawanan yang betul, dan tumpuan perhatian dunia adalah mengenai jenayah kewangan terbesar era moden.

"Kamu perlu membayar balik wang itu kepada rakyat Malaysia kerana saya tahu mereka amat memerlukannya," kata lelaki itu.

Adalah tidak diketahui siapa individu-individu berkenaan.

Malaysiakini telah menghubungi editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan pembantu Rosmah, Datuk Seri Rizal Mansor untuk mendapatkan ulasan mereka.

Sarawak Report berulang-kali mendakwa bahawa Najib menyalahgunakan dana awam melalui 1MDB untuk kepentingan peribadi - tuduhan yang perdana menteri menafikannya sekeras-keras.

Rosmah tiba di United Kingdom bersama 32 pelajar PERMATA dan enam guru Khamis lalu dan dijadual berada di sana sehingga hari ini.

Share This Video


Download

  
Report form