Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan kepada jentera komponen BN-Umno agar tidak membuat kerja Tuhan, sebaliknya bekerja keras untuk mencapai sesuatu matlamat dan berserah kepada Allah S.W.T.
Kata Tengku Adnan, beliau memberi contoh, tiada siapa dapat menyangka bagaimana bekas ahli parlimen Setiawangsa, Tan Sri Zulhasnan Rafique, yang pernah memegang jawatan menteri wilayah persekutuan dari 2006 hingga 2009, kini dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.
Jelas Tengku Adnan, jika seseorang itu ditakdirkan memegang sesuatu jawatan, itu adalah kehendak Tuhan.
"Kerana ini semua terserah kepada Allah, siapa nak jadi wakil rakyat, siapa nak jadi pemimpin, siapa yang nak jadi perdana menteri, siapa nak jadi menteri.
"Tanya Tan Sri Zul tak pernah mimpi nak jadi Duta AS. Tapi dah ditakdirkan, bila Tuhan hendak jadi maka jadilah.
"Kita hanya kerjalah. Yang lain terserah pada Allah. Jangan kita nak buat kerja Allah, bila tak dapat akhirnya kecewa," katanya ketika berucap di Program Nur Ramadan Parlimen Setiawangsa, semalam.