1MDB memohon perintah mahkamah bagi mendapat perintah menjual kapal persiaran Equanimity.
Peguam daripada Messrs Jeremy Joseph and Partners yang mewakili 1MDB berkata kes tersebut akan didengar di Mahkamah Tinggi Admiralti Kuala Lumpur esok.
Peguam itu juga mengesahkan 1MDB telah memfailkan permohonan bagi mempercepatkan penjualan tersebut.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini, 1MDB memohon penjualan tersebut dibuat melalui tender awam atau perjanjian swasta oleh Mahkamah Admiralti (pembantu pendaftar.
Pendengaran itu bukan untuk memutuskan kepemilikan Equanimity.
Suatu writ saman telah dikeluarkan kepada 'pemilik' kapal itu, juga kepada Wilson Yacht Management Ltd, syarikat yang mengendalikan operasi Equanimity pada 6 Ogos lalu.
Kapal persiaran mewah itu yang didakwa DOJ dibeli ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho menggunakan dana 1MDB, sekarang ini sedang ditempatkan di Pelabuhan Klang selepas diserahkan pihak berkuasa Indonesia bulan ini.
Low pula mendakwa penyitaan kapal itu sebagai "tidak sah" dan menuduh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai 'merampas' prosiding perundangan negara lain.
DOJ mendakwa Low memainkan peranan utama dalam penyelewengan besar 1MDB yang meminjam wang RM42 bilion untuk pelaburan yang sangat kecil dilihat hasilnya.
Pendengaran mahkamah ini bukan untuk memutuskan pemilikan Equanimity, dan permohonan yang difailan meminta untuk semua pertanyaan mengenai tuntutan terhadap hasil jualan tidak didedahkan.
Hasil daripada jualan itu hendaklah dibayar ke mahkamah dan diletakkan di dalam akaun bank di Malaysia.
Pemfailan menyatakan bahawa Equanimity "merosot secara fizikal" disebabkan pendedahan kepada laut dan cuaca, maka penjualan segera diperlukan untuk mengelakkan penyusutan nilai.