Peguam Umno didakwa terima RM15 juta wang haram

KiniTV 2019-02-21

Views 667

Peguam terkemuka dan penasihat undang-undang Umno, Hafarizam Harun, hari ini mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sebanyak RM15 juta.

Dia didakwa menerima wang berkenaan daripada bekas perdana menteri Najib Razak melalui beberapa cek di antara 2014 dan 2014.

Untuk pertuduhan pertama Hafarizam didakwa menerima RM11.5 juta - dipercayai daripada kegiatan haram - melalui dua cek yang masuk ke "Akaun Pelanggan" milik firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Hafarizam dituduh melakukan kesalahan itu di Bank CIMB cawangan PWTC Kuala Lumpur di antara 16 April 2014 dan 4 Nov 2014.

Untuk tuduhan kedua, Hafarizam dituduh menerima RM3.5 juta hasil daripada kegiatan haram melalui sekeping cek yang dimasukkan ke akaun sama pada 12 Feb 2015.

Dia juga didakwa melakukan tuduhan kedua di bank yang sama.

Hafarizam dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah wang yang terlibat, atau RM5 juta.


Hakim Azman Ahmad kemudian menetapkan 25 Mac ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

Sementara menunggu proses itu Azman membenarkan Hafarizam diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin.

Hasnal Rezua Merican bertindak sebagai peguam bela tertuduh.

Share This Video


Download

  
Report form
RELATED VIDEOS