2 bekas pegawai Goldman Sachs diharam dari industri perbankan

KiniTV 2019-03-13

Views 352

Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengharamkan dua bekas pegawai Goldman Sachs Group Inc daripada industri perbankan atas penglibatan mereka dalam skandal pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Menurut laporan Reuters, Rizab Persekutuan berkata Tim Leissner dan Roger Ng diharamkan kerana pembabitan mereka dalam "rancangan yang mengalihkan berbilion dolar daripada syarikat pelaburan Malaysia secara tidak sah".

Menurut perintah penyelesaian yang dikeluarkan badan itu sebelum ini, Leissner - bekas pengerusi Goldman Sachs di Asia Tenggara dan individu utama dalam tiga penjualan bon 1MDB - tidak mengaku atau menafikan dakwaan tersebut tetapi setuju membayar denda berjumlah AS$1.42 juta.

Peguam Leissner enggan mengulas kepada Reuters berkenaan pengharaman itu, manakala peguam Ng setakat ini gagal dihubungi.

"Dengan mengambil kira dakwaan Jabatan Kehakiman AS, perkembangan ini tidak mengejutkan," kata jurucakap Goldman Sachs Michael Duvally seperti dipetik.

Leissner sebelum ini mengaku bersalah terhadap dua tuduhan onspirasi mengubah wang haram dan berkonspirasi dengan warga negara asing untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing Amerika Syarikat berhubung dengan skandal 1MDB

Pada Februari lalu, Ng yang ditahan di Malaysia sejak 1 November lalu Ng setuju untuk diekstradisi ke AS dan mungkin akan mengaku tidak bersalah.

Pada Januari lalu, CEO Goldman Sachs David Solomon memohon maaf kepada rakyat Malaysia berhubung peranan bekas pegawai bank itu Tim Leissner dalam skandal 1MDB, bagaimanapun menegaskan pihaknya telah melakukan urusan sewajarnya (due diligence) sebelum setiap transaksi.

Share This Video


Download

  
Report form