Kumpulan AirAsia serius untuk memasuki pasaran Kemboja selepas gagal meraih sebarang persetujuan untuk mewujudkan kerjasama dengan syarikat penerbangan Vietnam.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata sebagai syarikat penerbangan ASEAN, pihaknya sentiasa mahu terus berkembang di pasaran rantau ini walaupun mengakui perniagaan itu sesuatu yang rumit dan sentiasa meraih perhatian negara.
“Kami adalah syarikat penerbangan ASEAN dan kami mahu (berkembang) di rantau ini. Kami sudah berada di India dan menjadi kebanggaan untuk (berada) di China.
“Mengenai Kemboja... saya sangat sukakan negara ini. Pasaran industri penerbangan Kemboja memiliki potensi yang cukup besar untuk berkembang,” katanya selepas sesi plenari anjuran Kepemimpinan Yayasan Obama: Asia Pasifik 2019 di sini, semalam.
Menurut laporan Nikkei Asian Review baru-baru ini, selepas tiga kali gagal dalam cubaan untuk menubuhkan syarikat sekutu di Vietnam awal tahun ini, AirAsia mengalihkan tumpuannya kepada negara lain di rantau ini.
Antara sebab kegagalan syarikat itu memasuki pasaran Vietnam adalah kesulitan untuk mencari rakan kongsi terbaik dan kehadiran banyak syarikat penerbangan di negara berkenaan.
Ketika ditanya bilakah jangkaan kerjasama itu akan dimuktamadkan, Tony berkata: “Tunggu dan lihat.”