Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mempertahankan langkah penubuhan skuad "memburu" pendatang asing tanpa izin (Pati) atau mereka yang tinggal lebih masa, ketika mengumumkan pelancarannya hari ini.
Presiden Putra Ibrahim Ali berkata, skuad itu bukan vigilante (sukarelawan yang mengawasi keselamatan) tetapi seperti Cawangan Khas (SB) polis.
"Sukarelawan ini lebih seperti pemberi maklumat, kalau dalam polis macam SB.
"Kita nak tindakan diambil dalam masa 24 jam, bukan selepas tiga hari. Sebaik kita buat laporan, kita ada rekod, barulah (dapat jamin) keberkesanan.
"Sebab kita tahu dalam polis, imigresen dan Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia),...ada bocor (maklumat). Saya tak tuduh semua berperangai buruk, tetapi antara isu besar dalam negara kita adalah rasuah," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Menegaskan Putra tiada niat untuk campur tangan dalam peranan pihak berkuasa, Ibrahim berkata skuad sukarelawan Putra akan memastikan pihak berkuasa mengambil serius laporan mereka.