Polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai jurujual jam dan seorang pelajar wanita kolej kerana disyaki terlibat dalam kes mempersendakan agama Islam melalui rakaman video tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, A Asmadi Abdul Aziz berkata, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menahan suspek lelaki berusia 20 tahun itu di Taman Kledang, Menglembu, Ipoh, pada 11.15 malam Sabtu, sebelum menahan rakan sebayanya di Taman Silibin Ria.
“Lelaki itu mengaku melakukan watak solat dalam video berkenaan dan rakan wanitanya mengaku merakam perbuatan tersebut menggunakan telefon miliknya, dengan niat untuk bergurau di sebuah inap desa di Taman Lapangan Terbang, sebelum memuat naik ke Instagramnya.
“Rakaman itu dilakukan pada 28 Okt lepas kira-kira 1.27 pagi, berdasarkan semakan di telefon bimbit berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.