Fieya Julia gembira penampilannya kini dengan mengenakan hijab berjaya mengikis pandangan negatif segelintir individu terhadapnya.
Menurut Fieya atau nama sebenar Nur Syafiyah Sejali, 21, imej tidak bertudung sebelum ini membuatkan ada pihak yang menganggap dia adalah seorang gadis yang bersifat terbuka.
“Kalau saya tak pakai tudung, saya rasa ada benda yang tidak cukup dalam hidup saya... rasa tak selesa. Malah imej saya tanpa tudung mungkin orang nampak kita macam bersifat terbuka.
“Selepas saya berhijab dah kurang lelaki-lelaki gatal DM dan sekarang ini lebih banyak kepada chat yang lebih kepada motivasi,” ujarnya kepada mStar.
Tambahnya lagi, perubahan pada dirinya tidak berkait dengan pemergian Allahyarham Siti Sarah namun akui terkesan dengan berita tersebut.
“Ianya kebetulan tapi pada masa yang sama, apabila kita tengok apa yang jadi dekat dunia ini ia buat kita rasa makin takut.
“Alhamdulillah memang hati saya dah terdetik, memang tak peduli apa-apa dan saya selesa dengan imej sekarang ini,” katanya.