Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.
Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad memohon agar Ahli Parlimen Baling itu dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah atas alasan representasi yang dikemukakan tertuduh telah dipertimbangkan oleh pihak pendakwaan dan memerlukan siasatan lanjut.