Hina Najib: Anak peneroka Felda dipenjara sehari, denda RM4000

KiniTV 2017-06-19

Views 2.3K

Seorang peniaga tukaran mata wang asing (forex) dihukum penjara sehari dan denda RM4,000 atau penjara dua bulan selepas mengaku bersalah membuat kenyataan menghina Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Nasaruddin Saron, 41, dituduh membuat kenyataan itu di Samsung Galaxy Tab miliknya pada 26 Oktober tahun lalu.

Kenyataan itu didakwa dilihat umum dan menyebabkan kemarahan orang ramai.

Dia didakwa di depan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Zaman Mohd Noor, manakala Mohd Sophian Zakaria bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.

Melalui kenyataan dibuatnya itu Mohd Nasaruddin merungut mengenai kenaikan harga barang serta pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 dan penjara setahun.

Generasi kedua Felda Kota Tinggi, Johor itu bersetuju dia memuat naik kenyataan berkenaan dan meminta orang ramai memberikan komen mengenainya dan seorang pengadu - dikenali sebagai Khalijah Mohamed - berasa tersinggung kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Khalijah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sehari kemudian dan siasatan mendapati Mohd Nasaruddin adalah pemilik akaun Facebook Nasaruddin Saron.

Mohd Sophian turut mengemukakan peranti tertuduh bersama kad sim sebagai bahan bukti.

Dalam rayuannya Mohd Nasaruddin meminta mahkamah meringankan hukuman kepadanya.

Timbalan pendakwa raya memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kejadian seumpama itu semakin banyak berlaku terhadap pemimpin negara.

Bagaimanapun beliau bersetuju bahawa ia adalah kesalahan pertama Mohd Nasaruddin.

Selepas mempertimbangkan semua fakta, hakim kemudian mengarahkan tertuduh dipenjara sehari dan denda RM4,000.

Share This Video


Download

  
Report form